LONDON – Sebuah restoran di England mengundang perhatian orang ramai selepas mengenakan bayaran £100 (RM549) kepada pelanggan yang memesan menu piza bersama nanas, lapor akhbar Metro UK semalam.
Menu dinamakan Pizza Hawaii itu dijual di restoran Lupa Pizza yang terletak di bandar Norwich, daerah Norfolk.
Pemilik Lupa Pizza, Francis Woolf berkata, mereka mengenakan bayaran yang mahal kerana tidak gemar dengan nanas.
“Saya benci nanas, apatah lagi meletakkan nanas di atas piza,” kata Woolf.
Ketua cef, Quin Jianoran berkata: “Kami boleh memenuhi citarasa pelanggan dengan segala jenis ‘topping’ yang dipilih, tetapi bukan nanas.”
Sebagai tindak balas kepada kontroversi itu, Jianoran membuat tinjauan dalam talian untuk mengetahui sama ada nanas boleh diletakkan pada piza.
“Jika nanas memenangi undian, saya tidak akan gembira dan mungkin mengenakan bayaran £200 (RM1,099) pada masa akan datang,” tambahnya. – AGENSI