LONDON – Pengurus Manchester United, Ruben Amorim percaya pasukannya layak untuk mara ke pusingan keempat Piala FA selepas menewaskan Arsenal di Emirates awal pagi semalam apabila mereka melalui ‘kesengsaraan’ bersama-sama.
United terpaksa beraksi dengan 10 pemain sejak minit ke-61 hingga perlawanan tamat dalam tempoh 120 minit selepas diheret ke masa tambahan apabila Diogo Dalot menerima kad kuning kedua kerana menerjah Mikel Merino.
Ketika kedudukan kekal terikat 1-1 sepanjang perlawanan, penentuan penalti akhirnya memihak kepada United sekali gus menyaksikan mereka berjaya melunaskan dendam kekalahan pada 5 Disember lalu yang menjadi kekalahan pertama Amorim sejak mengemudi kelab itu.
“Kami menunjukkan semangat yang berbeza berbanding aksi sebelum ini walaupun terpaksa beraksi dengan 10 pemain. Kami mempamerkan peningkatan dalam aspek tersebut. Saya fikir kami berdepan kesukaran sejak dari awal terutama untuk mengawal permainan.
“Kami menghadapi ‘kesengsaraan’, tidak banyak peluang terbaik dan sukar untuk berlari bersama bola. Arsenal membawa masuk pemain baharu, mengawal perlawanan, tetapi kami layak untuk mara dengan karakter yang dipamerkan,” katanya.
Pada aksi tersebut United membuka tirai jaringan menerusi Bruno Fernandes sebelum Gabriel Magalhaes menyamakan kedudukan dan Arsenal berpeluang untuk mendahului, namun Martin Odegaard gagal menyempurnakan sepakan penalti.
Penjaga gol kedua United, Altay Bayindir berjaya mencuri perhatian pada perlawanan tersebut apabila menyelamatkan dua sepakan penalti termasuk menepis sepakan Kai Havertz pada penentuan sepakan penalti.
Sepanjang perlawanan juga menyaksikan pemain antarabangsa Turkiye itu berjaya menyelamatkan tujuh percubaan tepat daripada 26 percubaan yang dilakukan oleh Arsenal sepanjang perlawanan berkenaan.
“Saya tidak kisah apabila tidak berada dalam skuad utama pada setiap perlawanan, tetapi saya perlu sentiasa bersedia, setiap minit dan setiap saat. Apabila anda menjadi pemain Manchester United, anda perlu dalam keadaan bersedia.
“Saya bekerja keras setiap hari dan bersabar. Saya hanya mahu membantu pasukan hebat ini dan mahu semua orang gembira dengan kemenangan yang kami raih,” jelas Bayindir. – AGENSI