fbpx

Piala FA: Arsenal gagal hapus badi pusingan ketiga

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ARSENAL berjaya menguasai perlawanan dan memiliki kelebihan beraksi dengan 11 pemain berbanding United, namun mereka gagal meneruskan kemaraan. - AFP

LONDON – Pengendali Arsenal, Mikel Arteta mengakui kekalahan pada aksi pusingan ketiga Piala FA ketika berdepan Manchester United di Emirates awal pagi semalam adalah sangat luar biasa dan menganggapnya sekali dalam seribu perlawanan.

Perlawanan tersebut berlangsung selama 120 minit apabila keputusan terikat 1-1 sepanjang aksi setelah United mendahului perlawanan menerusi Bruno Fernandes dan Arsenal menyamakan kedudukan hasil jaringan Gabriel Magalhaes.

Penentuan sepakan penalti menyaksikan Arsenal tidak bernasib baik apabila tewas 3-5 sekali gus tersingkir buat kali kelima berturut-turut sejak memenangi Piala FA kali terakhir pada musim 2020.

The Gunners berpeluang untuk membunuh perlawanan lebih awal menerusi sepakan penalti, namun Martin Odegaard gagal menyudahkannya ketika United hanya beraksi dengan 10 pemain selepas Diogo Dalot dibuang padang.

Penyerang Arsenal, Kai Havertz juga memiliki dua peluang terbaik untuk meledak gol, namun gagal melakukannya dan dia juga menjadi satu-satunya pemain yang tidak berjaya menyempurnakan sepakan penalti pada penentuan tersebut.

“Ia sangat luar biasa. Sudah pasti kami mengukur tahap persembahan dengan keputusan pada akhir perlawanan. Berdasarkan aksi, kami sepatutnya menang, tetapi realitinya kami tersingkir. Kami dinilai berdasarkan keputusan akhir, namun saya tidak dapat menerimanya.

“Saya sayangkan semua pemain dan pasukan. Saya gemar melihat mereka cukup bagus ketika beraksi dan dalam seribu perlawanan, anda patut untuk tewas sekali dan ini mungkin yang kami perlu terima.

“Anda perlu memahami situasi ini, ia adalah sebahagian daripada bola sepak. Kami tidak ada masa untuk mengenagnya, kami perlu terus bergerak kerana ada aksi yang lebih besar selepas ini,” katanya.

Arsenal bakal berdepan aksi derbi London pada awal pagi Khamis ini menentang Tottenham Hotspur untuk aksi Liga Perdana Inggeris di Emirates. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI