SEBERANG PERAI – Seorang pemancing di sini terkejut menemui satu kotak berisi sepucuk pistol dan kelopak beserta peluru hidup di persisiran Pantai Robina, Butterworth di sini, pagi tadi.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad berkata, pasukan polis dari Balai Telok Ayer Tawar telah menerima maklumat daripada seorang pengadu yang merupakan lelaki tempatan kira-kira pukul 4.30 pagi.
Menurutnya, hasil siasatan mendapati saksi dalam kejadian tersebut telah menjumpa kotak plastik yang berbalut dengan pembungkus plastik di lokasi kejadian ketika memancing di kawasan berdekatan.
“Pegawai penyiasat dibantu pasukan Forensik Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang telah menjalankan siasatan di tempat kejadian sekali gus membuat rampasan barangan kes tersebut.
“Suspek dalam kejadian ini masih belum dikenal pasti dan pihak polis sedang berusaha mengesan suspek disyaki terlibat,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Antara barangan yang dirampas adalah sepucuk pistol dengan nombor siri diganggu, 67 butir peluru hidup, empat kelopak peluru dan satu balutan plastik warna hitam mengandungi laser AVD10 LXGD berwarna hitam.
Katanya lagi, polis komited dalam melumpuhkan mana-mana kumpulan atau individu yang terlibat dalam aktiviti jenayah kekerasan yang boleh menjejaskan keselamatan dan keamanan negara. -KOSMO! ONLINE