KUALA LUMPUR – Mayat seorang lelaki dipercayai warga tempatan ditemui terapung dalam sungai berdekatan satu blok PPR Kampung Limau, Pantai Dalam, di sini, tengah hari tadi.
Pusat Gerakan Operasi Kuala Lumpur (PGO KL) menerima panggilan kecemasan berhubung insiden itu pukul 11.34 pagi.
Katanya, tujuh anggota Balai Bomba dan Penyelamat Pantai bersama jentera bertindak sebagai ‘first responder’ di lokasi kejadian.
“Menurut Komander Operasi, PBK I KUP Ramli Mohamad, setibanya pasukan di lokasi kejadian terdapat mayat seorang lelaki terapung dalam sungai.
“Tindakan operasi adalah dengan menggunakan peralatan tali dan ‘stretcher’ untuk membawa naik mayat ke tebing sungai,” kata PGO KL dalam satu kenyataan.
Menurut kenyataan itu, mayat lelaki berkenaan berjaya dinaikkan pada pukul 12.33 tengah hari.
“Mayat dipercayai seorang lelaki tempatan dan lain-lain maklumat tidak dapat dikenal pasti.
“Mayat diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE