fbpx

Malaysia, UAE sepakat perbaharui kerjasama 4 bidang utama

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anwar (kiri) mengadakan pertemuan bersama Sheikh Mohammed Rashid di Istana Za’abeel, Dubai. Foto FACEBOOK ANWAR IBRAHIM

PETALING JAYA – Malaysia bersama Emiriah Arab Bersatu (UAE) bersetuju untuk memperbaharui kerjasama dalam beberapa bidang utama termasuk tenaga, keselamatan makanan, teknologi dan pusat data.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kata sepakat itu berjaya dibentuk ketika beliau mengadakan pertemuan dengan Naib Presiden dan Perdana Menteri UAE, Sheikh Mohammed Rashid Al Maktoum di Istana Za’abeel, Dubai bersempena lawatan kerja tiga harinya ke negara tersebut.

Lawatan Perdana Menteri itu adalah atas jemputan Sheikh Mohammed Rashid Al Maktoum bagi menghadiri Minggu Kelestarian Abu Dhabi (ADSW) di Abu Dhabi.

“Ruang lingkup ini saya gunakan bagi menyatakan penghargaan di atas jemputan lawatan kerja ke negara ini selain bertukar pandangan mengenai usaha mengembangkan perkongsian strategik antara kedua-dua negara selain isu-isu global.

“Kami juga sepakat memajukan kepentingan bersama dan menyokong matlamat pembangunan mampan kedua-dua negara,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Terdahulu, Anwar memaklumkan pelaburan jangka panjang dijangka dapat disuntik termasuk membabitkan sektor penjagaan kesihatan, pengendali lapangan terbang dan tenaga susulan lawatan kerja beliau ke UAE.

Katanya, sinergi padu antara Malaysia dengan Pihak Berkuasa Pelaburan Abu Dhabi (ADIA) menjelmakan keyakinan terhadap potensi pertumbuhan ekonomi negara yang mampan dan berdaya saing.

Semalam, Anwar memulakan hari kedua lawatan kerja dengan mengadakan pertemuan dengan tiga pengurusan kanan Dana Kekayaan Berdaulat negara itu iaitu Pengarah Urusan ADIA, Sheikh Hamed Zayed Al Nahyan, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Mubadala, Khaldoon Khalifa Al Mubarak dan CEO Masdar, Mohamed Jameel Al Ramahi. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI