CAPE TOWN – Lebih 100 pelombong haram maut selepas terperangkap selama beberapa bulan di dalam sebuah lombong emas terbiar di Stilfontein, Afrika Selatan, lapor akhbar Mirror UK semalam.
Pelombong-pelombong itu dilaporkan berada di dalam lombong haram sejak November tahun lalu bagi mengelakkan ditahan polis.
Menurut pihak berkuasa, mereka mengepung lombong itu dalam usaha memaksa kumpulan itu keluar dan menangkap mereka.
“Namun, sekurang-kurangnya 100 orang terkorban kerana takut untuk keluar dan enggan ditangkap,” katanya.
Rakaman yang dikongsikan tiga hari lalu memaparkan puluhan mayat di bawah tanah yang dibalut dengan plastik.
Jurucakap Kumpulan Bersatu Komuniti Terjejas Perlombongan, Sabelo Mnguni berkata, lelaki-lelaki itu dipercayai maut akibat kebuluran dan dehidrasi.
“Kira-kira 18 mayat ditemukan sejak Jumaat lalu,” tambah Mnguni.
Seorang pegawai polis, Sebata Mokgwabone berkata, pihaknya masih menunggu untuk mengesahkan berapa banyak mayat ditemui dan bilangan mangsa terselamat yang dibawa keluar selepas operasi menyelamat dilancarkan kelmarin. – AGENSI