ALOR SETAR – Keluarga Siti Rohani Saad, 37, reda jika mayat yang dijumpai di sebatang sungai di Alor Mengkudu di sini semalam adalah wanita itu yang hilang pada November lalu.
Abangnya, Mohd. Nazir, 45, berkata, walaupun seluruh keluarga bersedih dengan perkembangan terkini, namun mereka menerima segala ketentuan Illahi.
“Kami semua akan terima apa juga keputusan nanti kerana selain pengecaman, ujian DNA (asid deoksiribonukleik) akan dibuat untuk pengesahan memandangkan keadaan mayat yang tidak sempurna ketika dijumpai.
“Sudah lebih dua bulan Siti Rohani hilang dan kami tidak berhenti berdoa agar dia akan kembali, namun jika ini kesudahannya kami semua reda,” katanya ketika ditemui di pekarangan Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini hari ini.
Sebelum ini, Siti Rohani dilaporkan hilang dan hanya motosikal milik wanita itu ditemukan di tebing Sungai Titi Haji Idris pada 8 November lalu.
Ketika kejadian, wanita itu dalam perjalanan ke tempat kerja di Jalan Pegawai di sini.
Mohd. Nazir berkata, mereka menerima panggilan berhubung penemuan mayat wanita pada pukul 5 petang semalam di Alor Mengkudu.
“Seorang anak saudara saya pergi ke lokasi untuk membuat pengecaman mayat, namun keadaannya tidak sempurna. Perasaan saya memang berdebar-debar, tapi reda,” katanya. – KOSMO! ONLINE