KUALA LANGAT – Status pemaju dan kontraktor projek perumahan Rumah Selangorku di Morib yang terbengkalai lebih dua tahun dijangka diketahui Khamis ini.
Exco Perumahan Selangor, Datuk Borhan Aman Shah berkata, beliau telah memanggil semua pemegang taruh termasuk pemilik tanah, wakil rakyat, penyelaras wakil pihak pembeli serta agensi kerajaan bagi membincangkan perkara tersebut.
Katanya, ia juga bagi melihat kesediaan pemaju untuk menyiapkan projek yang dianggap sakit tersebut.
“Khamis ini, saya akan meminta kata putus sebab ada pemaju dengan pemilik tanah. Kalau mereka tak boleh selesai, kita kena cari pemaju penyelamat. Jadi saya beranggapan masih ada peluang untuk memastikan projek itu diteruskan,” katanya ketika ditemui hari ini.
Terdahulu beliau mengiringi Raja Muda Selangor, Tengku Amir Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah bagi penyampaian bantuan basikal dan peralatan ayaman kepada komuniti Mah Meri.
Kata Borhan, pihaknya ingin menyelaraskan dan selesaikan masalah itu demi kemudahan pembeli.
Kata beliau, pihaknya juga menerima surat daripada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) yang merupakan suatu jaminan bahawa projek itu akan diteruskan.
“Saya bimbang, bila dianggap terbengkalai, ia akan memakan masa untuk balik semula, baik pulih dan sebagainya.
“Cuma ada dua projek iaitu rumah bawah dan apartmen. `Landed’ sudah 90 peratus, hanya sedikit infrastruktur yang belum lagi (siap) termasuk utiliti.
“Saya jangka untuk rumah bawah, kita selesaikan pada tahun ini sebab kita ada peluang lagi dalam 11 bulan, cuma apartmen akan mengambil masa,” katanya.
Kosmo! sebelum ini melaporkan kira-kira 500 pembeli projek perumahan di Morib di sini yang kebanyakan golongan B40 masih ‘kempunan’ untuk memiliki rumah sendiri apabila projek itu gagal disiapkan sehingga kini. – KOSMO! ONLINE