fbpx

Jinak bertudung, semakin kerap jumpa Nora Danish

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
FASHA SANDHA kini dilihat banyak berubah, semakin jinak bertudung dan menjalani hubungan harmoni bersama keluarga bekas mentua serta Nora Danish.

NAMPAKNYA lembaran tahun baharu 2025 dibuka dengan perkara yang indah-indah bagi aktres popular Fasha Sandha.

Pertama, dia dilihat sering memakai hijab ke mana-mana majlis dan kedua, hubungannya dengan pelakon Nora Danish dan bekas suami, Datuk Rizal Ashram Ramli atau Jejai semakin harmoni.

Mereka bahkan dilihat mesra bergambar bersama-sama, disertai anak-anak yang tercinta. Bercakap mengenai hal tersebut, Fasha atau nama lengkapnya Nur Fasha Sandha Hassan, 40, menjelaskan, dia hanya mengekalkan keharmonian bersama Nora sementelah anak-anak mereka tetap adik- beradik dan mempunyai hubungan darah.

“Nora merupakan ibu kepada Rayqal yang merupakan abang sulung kepada anak-anak saya iaitu Rayfal dan Jemyma. Seronok bila masing-masing teruskan kehidupan yang lebih harmoni.

JEJAI mesra melayan Fasha dan Nora bahkan sempat berswafoto dalam satu majlis baru-baru ini.

“Saya sangat tersentuh dan terharu apabila anak saya beritahu yang Rayqal masih menganggap saya sebagai ibu tirinya biarpun saya sudah tiada ikatan lagi dengan Rizal.

“Kata Rayqal kepada Rayfal dan Jemyma, “your mother will always be my step mother forever”, katanya kepada HibGlam.

Sebagai ibu, pelakon filem Cicakman itu sememangnya mahu anak-anak rapat dengan Rayqal biarpun berlainan ibu.

“Tiada apa yang lebih diinginkan seorang ibu melainkan melihat anak-anak saling menyayangi antara satu sama lain. Saya bersyukur kerana hubungan kekeluargaan ini masih berterusan biarpun saya sudah berkahwin lain. Tetapi hubungan anak-anak memang kita tak boleh putuskan kerana darah yang mengalir dalam tubuh mereka adalah darah yang sama.

“Anak-anak pun nak lihat kami semua hidup harmoni. Penting untuk kesihatan mental mereka hidup dalam suasana yang harmoni agar mereka rasa lebih dihargai dan mendapat kasih sayang yang secukupnya,” jelasnya.
Fasha juga semakin kerap bertemu dengan Nora memandangkan masing-masing bernaung bawah satu bumbung iaitu Inayah Beauty.

“Memang kami lebih kerap berjumpa sekarang. Dia (Nora) pun sudah anggap saya seperti saudaranya. Bila berjumpa sahaja kami mesti nak duduk dekat dan berbual tentang macam-macam perkara,” ujarnya.

FASHA kini dilihat seperti sudah berjinak-jinak hendak bertudung. – Afiq Razali & Instagram Nora

Salon

Bercakap tentang perancangan tahun 2025, kata Fasha, dia akan kembali membuka salon rambut yang pernah diusahakannya selama lapan tahun iaitu Chinta Hair Salon.

“Saya sangat sayangkan perniagaan salon saya. Perniagaan itu terpaksa dihentikan operasi sebelum pandemik Covid-19 melanda dunia kerana penyewa premis tersebut mahu mengambil semula untuk diberikan kepada anaknya yang mahu membuka farmasi.

“Agak sedih juga pada mulanya kerana sudah lapan tahun salon itu beroperasi. Tetapi inilah yang dikatakan hikmah, kerana selepas saya hentikan operasi, tiba-tiba pandemik. Allah nak selamatkan saya daripada kerugian. Kalau saya masih beroperasi pasti akan lalui kesukaran ketika itu.

“Jadi, tahun ini saya rancang untuk memulakan semula perniagaan saya kerana saya masih simpan semua peralatan salon tersebut dalam sebuah gudang yang saya sewa,” kongsinya.

Dalam perkembangan lain, Fasha akan kembali ke set penggambaran dalam masa terdekat untuk sebuah drama yang akan ditayangkan pada Hari Raya Aidilfitri nanti.

FASHA terharu apabila Rayqal (tengah) masih menganggap dirinya sebagai ibu tiri.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI