KUALA LUMPUR – Kementerian Kerja Raya (KKR) mahu semua agensi dan syarikat konsesi lebih proaktif dalam menyelesaikan isu penyelenggaraan jalan tahun ini.
Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, banyak tanggungjawab yang digalas kementerian itu melibatkan nyawa manusia dan ia tidak boleh dipandang sebelah mata.
“‘Sense of urgency’ dalam pelaksanaan tugas harus diletakkan sebagai prioriti. Peringatan ini juga saya tujukan kepada semua wakil syarikat konsesi yang hadir hari ini.
“Anda yang diberi tanggungjawab menyelenggara perlu bersifat lebih proaktif dan ‘action oriented’. Jangan tunggu ‘viral’ (tular) baru ambil tindakan,” katanya ketika berucap pada Majlis Amanat Tahun Baharu 2025 di sini hari ini.
Alexander berkata, tumpuan kementeriannya pada tahun ini adalah untuk mengurangkan jumlah ‘projek sakit’ ke angka sifar walaupun secara purata bilangannya adalah kecil berbanding projek yang telah disiapkan.
“Dalam kita meraikan kejayaan projek siap, ‘projek sakit’ juga perlu diberikan perhatian sewajarnya.
“Tahun 2025, saya mahu melihat penurunan angka ‘projek sakit’ dan sekiranya boleh (sampai) ke angka sifar. Kita di KKR harus memainkan peranan dalam memastikan kelancaran pelaksanaan projek,” katanya.
Tambahnya, selain itu beliau sendiri akan memantau pelbagai ketirisan di kementerian dan agensi terlibat kerana banyak rugutan dan aduan yang diterima. – KOSMO! ONLINE