SEPANG- “Mak cik ikat perut lebih 15 tahun, hanya makan nasi dengan bawang, kadang-kadang air garam untuk simpan duit bantuan Baitulmal ke Tanah Suci”
Itu pengorbanan dibuat seorang ibu tunggal, Maimun Sarajul, 60, yang merupakan antara 314 jemaah terkandas di sini selepas syarikat pengendali umrah gagal menunaikan janji untuk menerbangkan kumpulan itu ke Tanah Suci hari ini.
Menurut Maimun, dia telah menyimpan duit bantuan Baitulmal sejak 2009 bagi membolehkan dirinya serta dua anak dan seorang cucu juga Orang Kelainan Upaya (OKU) menunaikan ibadah umrah.
“Mak cik mula menyimpan ketika menerima bantuan Baitulmal berjumlah RM400 sejak 15 tahun lalu, apabila bantuan dinaikkan kepada RM500, mak cik tetap menyimpan untuk ke Mekah.
“Harapan mak cik ialah mahu membawa cucu yang juga OKU untuk ke Tanah Suci, dia juga sudah bersemangat, malah duit untuk menyewa kerusi roda berjumlah RM800 sudah dibayar,” katanya kepada Kosmo! di sini tadi.
Terdahulu, seramai 314 jemaah termasuk dari Brunei dan Korea Selatan terkandas di sini selepas penyedia perkhidmatan umrah gagal menyediakan tiket penerbangan, visa dan hotel di Tanah Suci melibatkan kerugian lebih RM2.1 juta.
Bercerita lanjut, Maimun berkata, dia mengetahui tentang pakej ditawarkan syarikat itu melalui promosi dibuat seorang usahawan kosmetik dari Kelantan menerusi aplikasi Tiktok.
“Sebelum ini, mak cik ada bertanya kepada seorang ustaz tentang pakej umrah, namun harga ditawarkan sedikit mahal.
“Jadi, selepas mak cik melihat Tiktok milik usahawan kosmetik itu, dia mempromosikan pakej berjumlah RM11,000 untuk dua orang dan terus berminat dengan tawaran itu,” jelasnya.
Katanya, dia telah membuat bayaran penuh berjumlah RM33,000 bagi membawa enam orang ahli keluarga termasuk anak dan cucu berstatus OKU.
Sementara itu, seorang lagi jemaah iaitu Tengku Nur Hidayah Che Engku Chik, 28, berkata, tindakan syarikat membatalkan ibadah umrah yang dijadualkan pada hari ini sebagai tindakan tidak bertanggungjawab.
“Sebenarnya saya tiba dari Korea Selatan bersama suami dan anak pada Ahad dan kami dijadualkan ke Tanah Suci pada hari ini. Namun, selepas tiba di Kuala Lumpur, kami dimaklumkan ia dibatalkan.
“Lebih terkilan, hasrat membawa dua orang jiran yang juga orang susah dari Kelantan juga tidak tercapai, biarlah kami tidak dapat pergi, tapi saya mahu jiran yang banyak berjasa dapat ke sana,” katanya.
Kata usahawan itu, dia telah membelanjakan lebih RM29,000 bagi membawa seramai lima orang termasuk jiran yang susah ke Tanah Suci. – KOSMO! ONLINE