fbpx

Identiti mayat reput dirungkai, sama ada milik Rohani

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Siti Rohani

ALOR SETAR – Kehilangan seorang wanita dikenali Siti Rohani sejak dua bulan lalu bakal terungkai ekoran penemuan mayat reput di tebing Sungai Kedah berdekatan Alor Mengkudu di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Siti Nor Salawati Saad berkata, mayat itu dijumpai pada pukul 2.35 petang oleh orang awam yang melalui kawasan tersebut.

Katanya, siasatan polis di lokasi penemuan mendapati, mayat seorang wanita ditemukan dalam keadaan mereput dan masih lengkap berpakaian.

“Pemeriksaan pada mayat pula menemui sebuah telefon bimbit di dalam poket seluar yang dipakai. Polis sedang menjalankan siasatan sama ada penemuan mayat ini ada hubung kait dengan kejadian seorang perempuan yang hilang sejak dua bulan lalu,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Katanya, mayat tersebut ditemukan kira-kira 10 kilometer dari lokasi wanita tersebut hilang setelah motosikalnya ditemukan sebelum ini.

Mayat dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk bedah siasat bagi mengetahui punca sebenar kematian.

“Polis memanggil waris kepada wanita yang hilang itu untuk tujuan pengecaman dan menjalani proses perbandingan DNA. Setakat ini, kes masih lagi diklasifikasi sebagai mati mengejut,” ujarnya.

Sebelum ini, Siti Rohani Saad, 37, dilaporkan hilang dan hanya motosikal miliknya ditemukan di tebing Sungai Titi Haji Idris, pada 8 November tahun lalu. Ketika kejadian, wanita itu dalam perjalanan ke tempat kerjanya di Jalan Pegawai dekat sini. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI