KUALA LUMPUR – Harga minyak sawit mentah (MSM) dijangka kekal tinggi tahun ini untuk mencapai purata antara RM4,000 dan RM4,300 setan berbanding RM4,179.50 tahun lalu, menurut Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB).
Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Chan Foong Hin berkata, harga minyak sawit bakal disokong oleh permintaan global yang diunjurkan semakin meningkat, ketika pertumbuhan bekalan dilihat lebih statik.
“Ia kombinasi melibatkan implementasi mandat biodiesel B40 di Indonesia, yang dijangka mengurangkan bekalan minyak sawit global untuk pasaran eksport, manakala pengeluaran di Malaysia meskipun meningkat tahun lalu, ia bukanlah paras tertinggi berbanding tahun-tahun sebelumnya.
“Tiada potensi petumbuhan pengeluaran daripada pembukaan tanah baharu untuk tanaman sawit di Malaysia dan kami terus cuba meyakinkan pekebun kecil untuk menanam semula pokok baharu kerana banyak tanaman sawit yang telah berusia,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan perasmian Seminar Tinjauan dan Pandangan Ekonomi Minyak Sawit 2025 di sini, semalam.
Beliau mewakili Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.
Seminar yang dianjurkan secara tahunan oleh MPOB itu mengumpulkan pakar ekonomi, pembuat dasar dan penggiat industri untuk merangka strategi bagi industri dan perdagangan minyak sawit.
Ia turut menyaksikan pertukaran dokumen antara MPOB, Kedutaan Belanda dan Suruhanjaya Tinggi British di Malaysia bagi program Inisiatif Kebangsaan untuk Pekebun Kecil Kelapa Sawit Mampan dan Pintar-Iklim 2 (NISCOPS 2).
Kerjasama antara kerajaan itu bertujuan memupuk perkongsian strategik yang lebih baik antara ketiga-tiga negara sambil menyokong pengeluaran dan penggunaan minyak kelapa sawit yang mampan.
Malaysia merupakan pengeksport minyak dan lemak kedua terbesar tahun lalu, mengeksport 16.9 juta tan minyak sawit yang mewakili 17.2 peratus daripada eksport keseluruhan minyak dan lemak global.
Hasil eksport produk minyak sawit negara pada 2024 berjumlah RM109.33 bilion.
Industri minyak sawit tempatan pula menghasilkan 19.34 juta tan MSM tahun lepas, iaitu 4.2 peratus lebih tinggi berbanding 2023 dengan kawasan tanaman seluas 5.61 juta hektar. -KOSMO! ONLINE