LUMUT – Dua bot pukat tunda ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Perak selepas dipercayai melanggar syarat sah lesen di sekitar perairan Sungai Burung di sini semalam.
Pengarah Maritim Negeri Perak, Kepten Maritim Mohamad Shukri Khotob berkata, penahanan tersebut dibuat oleh pasukan operasi KM Nyalau yang sedang melakukan rondaan rutin di sekitar sektor operasi berkenaan bagi mencegah perlakuan jenayah maritim di perairan negeri ini.
“Kedua-dua tangkapan berkenaan dibuat pada kedudukan kira-kira 4.6 kilometer (km) barat laut Sungai Burung sekitar pukul 12.45 tengah hari dan 1 petang semalam.
“Ia membabitkan dua tekong warga Myanmar dan Indonesia serta dua kru warga Indonesia berumur dalam lingkungan 21 hingga 41 tahun,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata, hasil pemeriksaan mendapati, kedua-dua vesel terbabit berpangkalan di Sungai Burung di sini dan disyaki melakukan kesalahan melanggar syarat sah lesen.
Mohamad Shukri berkata, kesalahan tersebut adalah beroperasi kurang dari 9 kilometer dari pantai atau daratan, tiada buku lesen dan pemilik tidak mengusaha sendiri bot terbabit.
“Tekong dan kru pula tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah serta disyaki tidak menggunakan laluan pintu keluar dan masuk ke Malaysia yang sah,” katanya.
Beliau berkata, kes akan disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 serta Akta Imigresen 1959/63.
“Kesemua nelayan ditahan, manakala bot dan hasil tangkapan dengan anggaran 60 kilogram serta peralatan menangkap ikan dirampas sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat APMM untuk tindakan lanjut,” katanya. – KOSMO! ONLINE