BANGKOK – Satu rakaman video yang memaparkan seorang kanak-kanak diseret semasa bermain layang-layang menggemparkan media sosial dengan netizen menggesa ibu bapa dan penjaga agar lebih berwaspada, lapor laman berita Thaiger hari ini.
Rakaman video itu dimuat naik di platform TikTok kelmarin.
Angin kuat menyebabkan layang-layang menyeret kanak-kanak itu di sebuah kawasan sawah padi walaupun mangsa cuba memegang hulu tali dengan kuat.
Layang-layang popular di seluruh dunia dan biasanya diterbangkan pada musim sejuk dan musim panas. Semasa musim sejuk di Thailand, angin bertiup dari darat ke lautan, manakala keadaan sebaliknya pada musim panas.
Dalam rakaman video tersebut, rakan-rakan budak lelaki itu dilihat berlari untuk menolongnya. Mangsa hanya cedera ringan dalam kejadian itu, demikian menurut laman berita KhaoSod.
Pada 15 Disember 2024, seorang budak lelaki Thailand berumur tujuh tahun terkorban selepas terlibat dalam kemalangan apabila melintas jalan semasa bermain-main layang-layang di wilayah Buriram. – AGENSI