NAPLES – Napoli dilaporkan sedang mengintai bintang muda Manchester United, Alejandro Garnacho sebagai pengganti Khvicha Kvaratskhelia yang berkemungkinan besar menyertai Paris Saint-Germain (PSG) bulan ini.
Kvaratskhelia yang menjadi rebutan kelab-kelab besar seperti Liverpool dilaporkan telah menyatakan keinginannya kepada pengurus Napoli, Antonio Conte untuk meninggalkan kelab itu.
Sebagai langkah persediaan, Conte mengenal pasti Garnacho sebagai calon utama untuk mengisi kekosongan yang bakal ditinggalkan oleh kapten Georgia itu.
The Red Devils dilaporkan telah menetapkan harga £42 juta (RM232.75 juta) untuk Garnacho yang kini kurang mendapat perhatian di bawah pengurus baharu, Ruben Amorim.
Pemain sayap itu diketepikan daripada kesebelasan utama dalam lima perlawanan terakhir dan tidak disenaraikan ketika menang 2-1 menentang Manchester City bersama pemain lain seperti Marcus Rashford yang juga ingin meninggalkan kelab.
Garnacho yang sukar menyesuaikan diri dengan formasi 3-4-3 tidak memulakan sebarang perlawanan sejak kekalahan 3-2 kepada Nottingham Forest di Old Trafford pada 7 Disember lalu.
“Saya sayangkan pemain-pemain saya dan mahu mereka kekal, terutamanya yang berbakat. Ini adalah masa yang sukar buat kelab tetapi saya berpuas hati dengan perkembangan Kobbie (Mainoo) dan Garnacho juga menunjukkan potensi besar,” kata Amorim.
Difahamkan, Napoli dijangka mempercepat rundingan untuk membawa masuk Garnacho jika perpindahan Kvaratskhelia ke PSG berjaya dimuktamadkan. – AGENSI