PETALING JAYA – Mengharapkan doa, penyanyi dan pelakon Ayda Jebat memaklumkan anak keduanya, Aali Mateen yang baru berusia setahun dijangkiti virus influenza.
Ayda atau nama sebenarnya Nur Suhada Jebat, 34, berkata, sebagai ibu emosinya turut terkesan melihat permata hati yang masih kecil diserang influenza dan perlu dikuarantin.
“Betul orang cakap, jangan suka sangat nanti menangis. Aali Mateen baru pandai berjalan, kena influenza pula. Dedek (panggilan Aali Mateen) sedang kuarantin sekarang.
“Mohon doakan dia cepat sembuh lepas tu boleh makan banyak dan pergi jalan.
“Apabila anak sakit, saya pun lemah. Nanti dah sihat, mama gigit awak,” katanya dalam perkongsian di Insta Story.
Menerusi hantaran sama, ibu kepada dua cahaya mata itu turut memuat naik video memaparkan gelagat Aali yang sudah pandai berjalan.
Ayda turut mengingatkan pengikutnya menjaga kesihatan bagi mengelakkan serangan penyakit terutama kes penularan virus berbahaya.
“Jaga diri semua, sekarang macam-macam virus demam dan sebagainya.
“Ambil ‘supplement’ dan makan makanan berkhasiat supaya antibodi badan kuat,” ujarnya.
Menerusi perkahwinan dengan pengacara Nabil Mahir pada 1 Januari 2021, mereka turut dikurniakan seorang anak perempuan, Ana Nayla, 3 tahun. – KOSMO! ONLINE