PETALING JAYA – Perbuatan seorang pekerja pasar malam mencuri 597 karton susu bernilai RM22,000 membawa padah apabila dia dihukum penjara dua bulan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini.
Majistret Amira Sariaty Zainal menjatuhkan hukuman itu terhadap Hamim Heji, 34, selepas tertuduh mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang disabitkan.
Mahkamah turut memerintahkan bapa kepada tiga anak itu dipenjara hari ini.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa bersama dua lagi individu yang belum dituduh mencuri dalam bangunan iaitu 261 karton Susu UHT Coklat satu liter dan 336 karton Susu UHT Full Cream satu liter, kepunyaan Dutch Lady Milk Industries Berhad, bernilai RM22,000.
Kesalahan didakwa dilakukan di sebuah kilang susu terbabit di Jalan Prof Khoo Kay Kim di sini antara pukul 4.51 pagi pada 1 Julai dan 4.43 pagi pada 22 Julai 2023.
Justeru pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman, penjara sehingga 10 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.
Semasa prosiding peguam M.Soosai Raj yang mewakili tertuduh merayu anak guamnya dikenakan hukuman denda minimum kerana mempunyai tanggungan keluarga.
“Saya mohon dia hanya dihukum hukuman penjara sehari kerana ini merupakan kesalahan pertamanya,” katanya.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Nadiah Malek Fauzie memohon mahkamah mengambil kira kerugian yang dihadapi kilang berkenaan. – KOSMO! ONLINE