PETALING JAYA – Mendakwa tidak lagi memiliki bentuk badan ideal seperti zaman anak dara, pelakon Puteri Aishah enggan peduli sebaliknya hanya mahu memastikan badannya mampu menghasilkan susu yang cukup buat anak sulungnya.
Pemilik nama lengkap Puteri Aishah Sulaiman, 31, menjelaskan, dia hanya mengambil makanan dalam kadar sederhana tanpa melakukan diet untuk kembali mendapatkan berat badan asal.
“Sejujurnya, ini bukan bentuk badan saya yang terbaik.
“Saya sedang menyusukan anak, tak jaga sangat diet tetapi saya makan secara sederhana.
“Saya makan untuk dapat banyak susu, bila susu banyak Faliq (anak) pun kenyang dan gembira. Bila dia gembira, mommy pun turut gembira,” katanya dalam InstaStory.
Dipuji berat badan masih kekal walaupun selepas melahirkan, pelakon filem Pulang itu bagaimanapun menyangkal kenyataan tersebut selain mengakui terpaksa membeli baju baharu gara-gara perubahan fizikalnya.
“Siapa kata saya ‘maintain’? Saya pun ada baju tak muat dan terpaksa beli pakaian baharu.
“Jangan risau ibu-ibu semua, sekejap sahaja kita berisi. Nanti lagi setahun dua kita kurus balik okey.
“Sekarang ini kita berseronok sahaja dengan badan berisi sebelum kurus. Anak-anak dan suami pun suka peluk,” jelasnya.
Aktres yang baru sembilan bulan menimang cahaya mata itu berkongsi perkara tersebut selepas diajukan pelbagai persoalan daripada peminat Instagram.
Rata-rata menzahirkan kekaguman dengan Puteri yang mampu mengekalkan berat badan walaupun selepas melahirkan zuriat.
Puteri mendirikan rumah tangga dengan ahli perniagaan, Muhammad Firdaus pada November 2021.
Hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan seorang cahaya mata lelaki, Muhammad Faliq pada 4 April tahun lalu. – KOSMO! ONLINE