IPOH – Semua kanak-kanak yang berada di bawah pengurusan GISB Holdings Sdn. Bhd (GISBH) Perak sudah dituntut oleh ibu bapa dan waris masing-masing.
Pengerusi Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Datuk Salbiah Mohamed berkata, semua kanak-kanak itu sudah tidak berada di pusat perlindungan yang disediakan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebelum ini.
“Saya difahamkan semua dah ‘clear’, kebetulan semalam saya sempat pergi ke pusat perlindungan itu dan mereka tidak berada di sana lagi,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Himpunan Gadis Hebat Negeri Perak di Kolej Poly-Tech Mara (KPTM) di sini hari ini.
Terdahulu, pada 17 Disember tahun lalu, Salbiah berkata sebahagian besar daripada 55 kanak-kanak sudah dituntut ibu bapa dan waris masing-masing menerusi Op Global.
Menerusi laporan itu, antara 55 penghuni rumah amal itu adalah kanak-kanak berusia 12 tahun dan ke bawah yang ditempatkan di rumah jagaan di bawah kendalian Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). – KOSMO! ONLINE