PUTRAJAYA – Sejumlah 927 projek bermasalah telah dipulihkan sejak Task Force Projek Perumahan Swasta Sakit dan Terbengkalai (TFST) ditubuhkan pada Disember 2022.
Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Aiman Athirah berkata, ia melibatkan sebanyak 112,747 unit rumah di seluruh negara dengan nilai pembangunan kasar (GDV) adalah RM92.48 bilion.
Beliau berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 75 projek berstatus lewat, 835 pula dikategorikan sakit manakala 17 lagi adalah terbengkalai.
“Sepanjang tahun lepas sahaja, sejumlah 475 projek dengan GDV iaitu RM52.67 bilion berjaya diselamatkan melibatkan 59,050 unit rumah iaitu peningkatan sebanyak 30.62 peratus GDV berbanding hanya RM39.81 bilion sepanjang 2023.
“Ini merangkumi 25 projek lewat yang kembali lancar, 441 projek sakit berjaya menerima sijil perakuan siap pematuhan (CCC) dan sembilan terbengkalai yang pulih,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Aiman Athirah berkata, bilangan projek memperoleh CCC pada 2024 melonjak 11.93 peratus melibatkan 54,420 unit rumah daripada tahun sebelumnya 394 projek atau 39,028 unit.
Begitu juga projek sakit, katanya, jumlah direkodkan hanya tinggal 392 sepanjang 2024 iaitu merosot 22.38 peratus berbanding 505 projek dicatat pada 2023, selain berbaki sebanyak 113 projek terbengkalai (2024) berbanding 117 (2023). – KOSMO! ONLINE