SEBERANG PERAI – Seramai 23 individu cedera apabila bas persiaran yang mereka naiki melanggar bahagian belakang sebuah treler di Kilometer (KM) 157.8 Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara dekat Sungai Bakap, di sini pagi tadi.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Bakap, Saiful Bahari Mohamad berkata, setakat ini dua mangsa sedang dirawat di zon merah, manakala sembilan dan 12 mangsa lagi masing-masing ditempatkan di zon hijau dan kuning.
Katanya, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu kira-kira pukul 4.16 pagi dan kemudiannya bergegas ke lokasi kemalangan.
“Kemalangan melibatkan sebuah bas persiaran yang membawa 24 dan seorang pemandu berserta kelindan bas. Bas persiaran terbabit yang menghala ke arah utara itu didapati telah melanggar belakang sebuah lori kontena.
“Tindakan pantas anggota melakukan kerja-kerja mengeluarkan kesemua mangsa di dalam bas dan memberi rawatan awal oleh pasukan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS).
“Tiada mangsa tersepit dan mangsa-mangsa cedera telah dihantar ke Hospital Sungai Bakap dan Hospital Seberang Jaya untuk rawatan,” katanya.
Terdahulu, laman X Plus Trafik memaklumkan, insiden kemalangan menyebabkan semua lorong ditutup bagi tujuan kerja pengalihan di mana aliran trafik terhenti sejauh 2.5 km kira-kira pukul 4.20 pagi tadi.
Difahamkan, semua penumpang muslimah dari Seremban dalam perjalanan ke Masjid Murtadha Dakwah Centre (Madad) di Sungai Petani, Kedah. – KOSMO! ONLINE