ALOR GAJAH – Seorang lelaki warga emas didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas kesalahan mencabul seorang kanak-kanak perempuan yang juga anak jirannya berusia enam tahun, minggu lalu.
Tertuduh yang berusia 67 tahun mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Syazana Abd. Lajis.
Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak perempuan pada waktu petang di sebuah rumah di sini pada 6 Januari 2025.
Sabit kesalahan tertuduh boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan boleh juga dikenakan sebat mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang boleh dihukum di bawah akta sama.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 beserta syarat tambahan dilarang mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan, melapor diri di balai polis berhampiran sebulan sekali serta pasport diserahkan kepada mahkamah jika ada.
Mahkamah menetapkan tarikh 18 Februari depan untuk lantikan peguam dan serahan dokumen. – KOSMO! ONLINE