PETALING JAYA – Kelibat beberapa budak memanjat dinding wad pada awal pagi antara pengalaman seram dilalui seorang lelaki sewaktu menerima rawatan di unit rawatan rapi (ICU) di sebuah hospital.
Kehadiran kanak-kanak itu tidak dapat dilihat oleh kakitangan hospital tersebut, namun hanya disedari oleh lelaki berkenaan sekali gus menyebabkan jantungnya menjadi laju.
Perkongsian seram itu diceritakan seorang Dr. Adli Azam yang juga pakar pembedahan kardiotoraks di sebuah hospital swasta berhubung pesakitnya yang ditempatkan di ICU tersebut.
“Tengok hari ini dia ‘okey’, esok dah boleh keluar dari ICU ke wad. Malam itu tiba-tiba jantung dia laju.
“Sebagai doktor ni, kita nampak apa yang kita nampak. Kita beri ubat pukul 2, 3 pagi. Kemudian pagi itu tanya (pesakit), ‘haji malam tadi teruk sangat ni, ada apa-apa ke?’.
“Dia nampak budak-budak kecil panjat dinding bukan satu, tapi dua tiga orang panjat depan mata. Sampai jantung dia ‘berterabur’ (laju),” katanya menerusi hantaran video.
Beliau juga berkongsi kisah pernah diganggu ‘makhluk’ tidak dapat dilihat selepas melakukan pembedahan.
“Setakat kena kacau ada dua tiga kali, tapi kadang saya tak larat. Saya pernah buat pembedahan sampai 12 tengah malam dan balik ke bilik, saya penat sebenarnya tak larat nak tidur saja.
“Tapi kena kacau. Bila pakai selimut, dia tarik selimut. Benda ni kacau bila kita diawang-awangan, antara sedar dan nak tidur. Sebab itu saya tak tidur terlentang, saya tahu ada jin akan hempap kita dan saya tidur mengiring,” katanya.
Katanya, terdapat beberapa kawasan ‘keras’ yang menjadi kesukaan makhluk tersebut di dalam hospital.
“Jin ni memang ada yang ‘power’ (kuasa) suka pada darah. Kebanyakan ‘keras’ sama ada pusat dialisis sebab berurusan dengan darah, bilik pembedahan dan ICU,” katanya. – KOSMO! ONLINE