fbpx

Titah Adendum: Polis rakam keterangan KJ, dakwa Azalina berkomplot

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Khairy Jamaluddin

PETALING JAYA – Polis Diraja Malaysia (PDRM) merakam keterangan bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar hari ini berkait kenyataan terhadap Datuk Seri Azalina Othman Said yang didakwa berkomplot menyembunyikan Titah Adendum.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, pihaknya menerima dua laporan pada Jumaat lalu dan satu kertas siasatan dibuka berhubung kes berkenaan.

“Pengadu membaca sebuah portal berita tempatan berhubung kenyataan Khairy Jamaluddin yang mendakwa Azalina berkomplot menyorokkan Titah Adendum.

“Pengadu mendakwa kenyataan itu adalah tidak benar dan memburukkan imej Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi),” katanya ketika dihubungi.

Menurut Razarudin, Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) merakam percakapan Khairy Jamaluddin pada 3 petang ini di pejabatnya di Jalan Setia Bakti, Bukit Damansara.

“Siasatan dilakukan di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan kerana memfitnah dan Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia Malaysia (AKMM) 1998,” ujarnya lagi.

Terdahulu Kosmo! melaporkan Setiausaha Politik kepada Azalina Othman, Datuk Suraya Yaacob membuat laporan polis terhadap Khairy Jamaluddin di Balai Polis Sentul pada Jumaat lalu.

Menerusi siaran audio siar ‘Keluar Sekejap’, Khairy Jamaludin mendakwa terdapat krisis kepercayaan terhadap bekas partinya, UMNO berikutan isu Titah Adendum yang melibatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Selain itu, Khairy Jamaluddin turut mendakwa Azalina berkomplot menyembunyikan dokumen tambahan yang membenarkan Najib menghabiskan hukuman pemenjaraannya dengan menjalani tahanan di rumah. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI