BALIK PULAU – Sepasang suami isteri mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan memiliki cecair ketum di rumah sewa mereka di Bayan Lepas, awal Januari lalu.
Tertuduh, Mohd. Nasir Othman,47, dan isterinya, NorHafizah Mohd. Zamberi, 36, membuat pengakuan tersebut setelah pertuduhan ke atas mereka dibacakan di hadapan Hakim Ahzal Fariz Ahmad Khairuddin.
Mengikut pertuduhan pertama, Mohd. Nasir didakwa memiliki cecair mitragynine (ketum) berjumlah 18 liter manakala bagi pertuduhan kedua yang dibaca secara bersama, pasangan terbabit didakwa memiliki cecair mitragynine (ketum) berjumlah 259.5 liter.
Perbuatan bagi pertuduhan pertama dan kedua didakwa dilakukan di hadapan dan rumah di Jalan Lintang Bayan 6, Sungai Ara, Bayan Lepas, kira-kira pukul 9 pagi, 6 Januari.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 30 (5) Akta yang sama dengan membawa hukuman denda tidak melebihi RM100,000 atau boleh maksimum lima tahun penjara atau kedua-duanya sekali.
Hakim kemudiannya menetapkan wang jaminan berjumlah RM16,000 untuk Mohd. Nasir manakala isterinya pula dikenakan jaminan RM8,000 sekali gus menetapkan 12 Mac depan sebagai sebutan semula kes tersebut. – KOSMO! ONLINE