TAMWORTH – Pengurus Tottenham Hotspur, Ange Postecoglou cukup memahami perasaan dirasai oleh kelab kerdil, Tamworth yang beraksi dalam di peringkat Liga Nasional selepas tersingkir daripada pusingan ketiga Piala FA.
Pada perlawanan kelmarin, Tamworth berjaya memberikan tentangan cukup hebat apabila kekal tanpa jaringan dalam tempoh 90 minit hingga mengheret saingan ke masa tambahan.
Pengalaman dan kualiti pemain ternyata menjadi pemisah antara kedua-dua pasukan apabila Spurs berjaya mengelak daripada diaibkan kelab divisyen kelima England itu menerusi tiga gol dalam masa tambahan untuk menang 3-0 pada aksi di The Lamb Ground semalam.
“Pertamanya, kredit perlu diberikan kepada Tamworth kerana saya fikir mereka sudah berikan segala-galanya. Kami berdepan cabaran hebat pada perlawanan ini di mana permukaan padang juga menyukarkan kami untuk bermain.
“Kami boleh berasa kecewa, namun pemain kekal bersemangat hingga mencatat kemenangan. Saya pasti semua orang di Tamworth akan mengingati hari ini.
“Ia juga pengalaman yang unik buat mereka, malah saya sendiri begitu menikmati perlawanan ini,” kata Postecoglou.
Dalam tempoh 30 minit masa tambahan, Spurs meraih tiga gol hasil jaringan sendiri pemain Tamworth, Nathan Tshikuna pada minit ke-101 diikuti dua lagi daripada Dejan Kulusevski (m-107) dan Brennan Johnson (m-118).
“Kami hampir mencipta sejarah dan saya katakan kepada mereka, siapa pun anda, mereka boleh berbangga dengan apa yang kami lakukan,” kata pengurus Tamworth, Andy Peaks. – AGENSI