WASHINGTON – Bakal Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump akhirnya ‘membuka mulut’ mengenai bencana kebakaran besar di Los Angeles, lapor portal berita MailOnline semalam.
Trump berbuat demikian selepas tidak membalas jemputan Gabenor California, Gavin Newsom untuk melawat lokasi kebakaran.
Trump menggunakan platform Truth Social miliknya dan berkata: “Kebakaran masih marak di Los Angeles. Semua pihak bertanggungjawab tidak cekap dan tidak tahu cara untuk memadamkannya.
“Beribu-ribu rumah yang indah musnah. Banyak lagi (kediaman) akan hilang tidak lama lagi. Kematian di mana-mana saja.
“Ini adalah salah satu malapetaka terburuk dalam sejarah negara kita. Mereka (anggota bomba) tidak dapat memadamkan api. Apa masalah mereka?”
Kenyataan itu dikeluarkan selepas Newsom terlibat dalam pertengkaran dengan Trump mengenai kebakaran hutan di Los Angeles. Kebakaran itu memusnahkan kawasan seluas 16,187 hektar selepas marak sejak minggu lalu.
Pada Jumaat lalu, beliau menjemput Trump untuk datang dan melihat sendiri kemusnahan dan bertemu mangsa-mangsa yang terselamat.
Setakat ini, lebih 23 orang disahkan maut, manakala punca kebakaran hutan itu masih belum dikenal pasti.
Namun, barisan kepimpinan di California didakwa tidak melakukan usaha mencukupi termasuk memotong peruntukan perkhidmatan kecemasan sebelum kebakaran itu berlaku.
Ketua jabatan bomba, Kirstin Crowley mengaku bahawa kekurangan peruntukan menghalang pihaknya daripada menjalankan tugasnya dengan berkesan. – AGENSI