IPOH – Seramai sejuta pelancong dijangka mengunjungi Tasik Cermin di sini pada tahun ini ekoran wujudnya pelbagai aktiviti menarik yang ditawarkan kepada orang ramai.
Pengarah Tasik Cermin Ipoh, Ng Seong Ping berkata, Majuperak Holdings Berhad (MHB) bersama rakan strategiknya, STG World Sdn. Bhd. (STG) menjalin kerjasama erat bagi mencapai matlamat itu terutamanya menerusi pakej-pakej menarik di lokasi tersebut.
Katanya, pakej-pakej bagi mempromosikan Tasik Cermin itu bersesuaian dengan peringkat umur pengunjungnya selain lebih banyak aktiviti outdoor ditambah selain program-program menarik sepanjang 2025.
“Antaranya kenderaan lasak pelbagai bentuk permukaan bumi (ATV), Perak Food Fiesta, Hari Geologi Sedunia, Tasik Cermin Run dan sebagainya untuk dinikmati oleh para pengunjung.
“Bagi tujuan tersebut kami akan memastikan kakitangan yang terlibat diberi latihan dan pendedahan yang secukupnya bagi menjamin keselamatan dan keselesaan semua pihak,” katanya di sini hari ini.
Seong Ping berkata, Tasik Cermin telah menarik lebih daripada 500,000 pelawat setakat Disember 2024.
Ketua Eksekutif Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk) merangkap Pengerusi Eksekutif MHB, Datuk Redza Rafiq Abdul Razak berkata, transformasi Tasik Cermin daripada bekas kuari kepada ikon pelancongan merupakan simbol dedikasi mereka terhadap pemuliharaan alam semula jadi dan pembangunan ekonomi Perak.
Katanya, ia merupakan suatu inisiatif yang membanggakan buat MHB dan STG kerana telah berjaya memulihara warisan geologi itu sehingga berjaya meraih pengiktirafan dalam anugerah berprestij.
“Destinasi geopelancongan Tasik Cermin ini mempunyai tiga tarikan gua utama iaitu Tasik Cermin 1, Tasik Cermin 2 dan Gua Mulut Ular,” katanya.
Tasik Cermin menerima pengiktirafan sebagai Anugerah Destinasi Pelancongan Mesra Muslim oleh Islamic Tourism Centre (ITC) dan The Best Accessible Tourism Initiative Award sempena Anugerah Pelancongan Perak 2024 baru-baru ini di Hotel Casuarina@Meru. – KOSMO! ONLINE