PETALING JAYA – Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR) di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) program yang sangat bermanfaat untuk golongan wanita.
Menteri Pendidikan yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal, Fadhlina Sidek berkata, beliau sendiri menaja SKSSR untuk kira-kira 100 wanita setiap tahun.
“Tahun ini saya mulakan sokongan saya kepada 50 suri rumah sebagai tanda penghormatan dan kasih sayang kepada mereka.
“Ibu-ibu ini sentiasa berkhidmat untuk keluarga tanpa mengenal penat lelah demi kebahagiaan keluarga,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.
Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong pada Oktober tahun lalu memaklumkan, pendaftaran caruman SKSSR telah mencecah 474,982 individu.
Fadhlina yang juga Ketua Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR) berkata, caruman SKSSR sangat rendah dengan komitmen tahunan sekitar RM120 untuk jaminan perlindungan.
Katanya, sebagai pemimpin wanita yang sangat percaya dengan perlindungan keselamatan terhadap wanita, beliau akan teruskan program tajaan itu dari semasa ke semasa.
“Mesej penting yang harus sampai kepada kaum wanita adalah kepentingan skim ini untuk melindungi mereka ketika bertugas sebagai suri rumah.
“Sayang isteri tinggal-tinggalkan. Sayang anak tangan-tangankan. Sayang wanita carum-carumkan,” katanya. – KOSMO! ONLINE