KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini, menolak semakan kehakiman yang dikemukakan Tun Dr. Mahathir Mohamad
untuk beliau dan peguamnya hadir sepanjang prosiding Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung Pengendalian Perkara berbubung Kes Kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan.
Hakim Datuk Amarjeet Singh memutuskan demikian selepas menolak permohonan Dr. Mahathir selaku pemohon terhadap permohonan itu.
“Permohonan semakan (pemohon) ditolak tanpa sebarang kos alasan penuh kehakiman akan ditulis dalam jangka masa terdekat,” kata Hakim itu.
Sebelum ini, Hakim Amarjeet menetapkan tarikh hari ini bagi keputusan semakan itu selepas selesai mendengar hujahan daripada Peguam Kanan Persekutuan, Shamsul Bolhassan bagi pihak Pengerusi, Timbalan Pengerusi dan lima Ahli Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) selaku responden.
Sementara bekas Perdana Menteri itu selaku pemohon diwakili peguam Zainur Zakaria.
Sementara itu, dalam prosiding hari ini seorang lagi peguam Muhammad Rafique Rashid Ali,
yang mewakili Dr.Mahathir berikutan keputusan Mahkamah Tinggi hari ini, pihaknya akan mengemukakan rayuan ke Mahkamah Rayuan.
Terdahulu pada 12 Jun tahun lalu, mahkamah membenarkan permohonan Dr. Mahathir untuk mendapatkan kebenaran bagi memulakan semakan kehakiman sama ada beliau boleh diwakili peguam pada prosiding RCI.
Pada prosiding lalu, mahkamah diberitahu rujukan RCI untuk Mengkaji Pengendalian Perkara Berkaitan Kes Kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan, tidak menunding jari kepada Dr.Mahathir.
Shamsul yang mengemukakan hujahan bagi pihak Pengerusi, Timbalan Pengerusi dan lima Ahli RCI, berkata terma rujukan suruhanjaya siasatan itu tidak menamakan Dr. Mahathir sebagai subjek dalam siasatan.
“Termanya hanya untuk menyiasat dan bukannya menunding jari kepada Tun Dr. Mahathir,” katanya.
Sementara itu, Shamsul berhujah bahawa permohonan semakan kehakiman itu kini bersifat akademik kerana siasatan sudah selesai dan laporan sudah diserahkan kepada Yang di-Pertuan Agong bulan lalu (ketika itu).
Berdasarkan permohonan, Dr. Mahathir selaku pemohon memohon satu perisytiharan bahawa beliau adalah individu yang menjadi perkara dalam siasatan RCI, atau terbabit dengan perkara yang sedang disiasat oleh suruhanjaya berkenaan mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 (Akta 119).
Dalam afidavit sokongannya, Dr. Mahathir berkata, beliau dinasihatkan oleh peguamnya, bahawa perintah atau keputusan RCI adalah ultra vires (bertentangan) Akta Suruhanjaya Siasatan 1950, kerana selaku individu yang menjadi subjek dalam siasatan, dia berhak diwakili peguam pilihan.
Dalam pada itu, Zainur yang mewakili Dr. Mahathir pula berhujah, semakan kehakiman itu belum bersifat akademik kerana Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Siasatan 1950, adalah satu peruntukan keperluan berkanun dan sebarang ketidakpatuhan boleh menyebabkan keseluruhan prosiding RCI terbatal.
Seksyen sama turut memperuntukkan bahawa individu yang kelakuannya tertakluk kepada siasatan, berhak diwakili peguam sepanjang keseluruhan prosiding.
Zainur berkata, Dr. Mahathir adalah subjek dalam RCI, tetapi beliau tidak dibenarkan diwakili peguam melalui prosiding yang dijalankan secara tertutup. – KOSMO! ONLINE