SEPANG – Projek Program Perumahan Rakyat (PPR) Ampar Tenang, Dengkil di sini siap selepas hampir 10 tahun pembinaan dan dijangka diagihkan kepada pemilik pada tahun ini.
Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Aiman Athirah Sabu berkata, pembinaan rumah itu yang dimulakan oleh kerajaan terdahulu pada 1 Ogos 2017 dan diteruskan oleh kontraktor penyiap pada Oktober 2021 siap dibina dengan kos pembangunan sebanyak RM88 juta.
Menurut beliau, PPR yang dibangunkan di atas tanah seluas 12 hektar melibatkan 34 blok rumah itu menerima sijil Penyiapan dan Pematuhan (CCC) pada 31 Disember 2024.
“Hari ini saya menyaksikan penyerahan projek daripada Bahagian Pengurusan Perumahan KPKT kepada Jabatan Perumahan Negara.
“Projek PPR Ampar Tenang ini dahulunya menempatkan penghuni yang juga pekerja ladang Sime Darby.
“Projek ini adalah kerjasama di antara kerajaan Persekutuan (menerusi) KPKT dan juga kerajaan negeri Selangor yang menyediakan sebanyak 404 unit rumah PPR,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Projek PPR Ampar Tenang, Dengkil hari ini.
PPR Ampar Tenang merupakan penempatan semula penduduk pekerja ladang dari Ladang Prang Besar, Medingly, Galloway dan Sedgely yang ditempatkan secara sementara di rumah kos rendah Taman Permata, Dengkil.
Ia merupakan kediaman teres satu tingkat berkeluasan 750 kaki persegi dengan setiap unit dilengkapi tiga bilik tidur dan dua bilik air, selain memiliki kemudahan seperti dewan komuniti, taman permainan dan kawasan lapang. – KOSMO! ONLINE