KOTA BHARU – Penyanyi sohor Kelantan dan lima lagi individu yang ditahan bersama 6,000 biji pil kuda di sebuah hotel di Sungai Golok, Thailand pada 1 November lalu akan didakwa di Mahkamah Wilayah Narathiwat esok.
Salah seorang ahli keluarga penyanyi tersebut berkata, keluarganya akan hadir ke mahkamah tersebut untuk mendengar prosiding tersebut.
Menurutnya, kehadiran ahli keluarga di mahkamah esok diharap dapat memberi semangat kepada penyanyi tersebut.
Sementara itu, jurucakap Mahkamah Wilayah Narathiwat mengesahkan bahawa pejabat Timbalan Pendakwa Raya memfailkan kes tersebut kepada mahkamah selepas polis menyelesaikan siasatan kes.
Kosmo! sebelum ini melaporkan, seorang penyanyi wanita tersohor Kelantan antara enam individu yang ditahan oleh pihak polis Thailand bersama 6,000 biji pil kuda dalam serbuan di Genting Hotel di sini pada 1 November lalu.
Kesemua suspek termasuk tiga wanita berusia antara 25 hingga 34 tahun tersebut ditahan di sebuah bilik hotel selepas selesai berhibur di pusat hiburan di bahagian bawah hotel tersebut. – KOSMO! ONLINE