SHAH ALAM – Seorang pengurus syarikat maut dalam kemalangan melibatkan empat buah kenderaan termasuk motosikal dalam kejadian di Jalan Platinum 7/60, Seksyen 7 di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 10.25 pagi, mangsa berusia 46 tahun yang parah di bahagian kepala disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd. Iqbal Ibrahim berkata, hasil siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Alphard dipandu lelaki berusia 38 tahun dalam perjalanan ke Persiaran Bestari telah hilang kawalan.
Katanya, Toyota Alphard itu kemudiannya telah melanggar belakang sebuah motosikal jenis Yamaha FZ150 dipandu mangsa dari arah sama.
“Akibatnya, motosikal ditunggangi mangsa telah melanggar sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Honda HRV yang diparkir di sebelah kiri jalan dengan mangsa kemudiannya jatuh di atas jalan.
“Ini menyebabkan pemandu Toyota Alphard tersebut mengelak lalu telah melanggar bahagian belakang sebuah lagi SUV jenis BMW X5 yang berada di hadapan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau menambah, penunggang motosikal yang cedera di kepala telah disahkan maut oleh pembantu perubatan daripada Hospital Shah Alam yang hadir ke tempat kejadian.
Tegasnya, hasil ujian air kencing mendapati pemandu Toyota Alphard itu negatif dadah dan kita telah mengambil sampel darahnya untuk diuji oleh Jabatan Kimia.
“Justeru, mana-mana saksi atau orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Muhammad Syahrul Zulkeflee di talian (010-4589850). Kes disiasat mengikut seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – KOSMO! ONLINE