fbpx

Pemandu rentung, Proton Saga terbakar nahas dengan Hilux

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anggota bomba memadam kebakaran sebuah kereta Proton Saga yang terbakar selepas terbabit nahas dengan sebuah Toyota Hilux di Bandar Utama, Gua Musang, hari ini. Foto IHSAN BOMBA

GUA MUSANG – Seorang lelaki rentung apabila kereta yang dipandu terbakar selepas terbabit kemalangan dengan sebuah trak pikap di Bandar Utama di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 5.18 petang itu, mangsa yang masih belum dikenal pasti identiti dipercayai terperangkap selepas tersepit di dalam kereta jenis Proton Saga.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Gua Musang, Nor Azizi Che Noh berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada orang awam kira-kira pukul 5.18 petang sebelum 10 angota bergegas dan tiba di lokasi kejadian kira-kira 10 minit kemudian.

Menurutnya, siasatan awal mendapati, sebuah kereta Proton Saga terbakar manakala pemandunya terperangkap dan rentung.

“Berdasarkan pemeriksaan lanjut, lelaki itu dijumpai dalam keadaan rentung di dalam kereta tersebut. Pemandu trak pikap jenis Toyota Hilux yang cedera pula dihantar ke Hospital Gua Musang untuk rawatan lanjut,” katanya.

Nor Azizi memberitahu, api kebakaran kereta itu dapat dipadamkan kira-kira pukul 5.47 petang dan mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI