BANGKOK – Seorang pelancong Malaysia bersama sembilan anggota polis dan sukarelawan keselamatan Thailand cedera selepas kumpulan pemisah meletupkan bom buatan sendiri disembunyikan di dalam motosikal yang diletakkan berhampiran sebuah balai polis di daerah Muang, wilayah Pattani hari ini, lapor akhbar The Nation.
Polis berkata, letupan berlaku pukul 8.20 pagi(waktu tempatan) di taman Soi TK Park, sebelah balai polis Muang.
Menurut pihak berkuasa, bom itu diletupkan menggunakan peranti masa.
Rakyat Malaysia yang cedera itu mengalami kesakitan pada bahagian dada, berkemungkinan berpunca daripada impak letupan. Namun, mangsa tiada luka luaran.
Kebanyakan 10 mangsa itu mengalami cedera ringan seperti sakit dada dan telinga berdesing. Bagaimanapun, tiga sukarelawan pertahanan terbabit mengalami luka akibat terkena serpihan
Pasukan pemusnah bom dihantar ke lokasi kejadian susulan letupan tersebut. Polis menutup kawasan itu dan menyekat liputan telefon bimbit kerana bimbang pemisah meletakkan bom kedua untuk menyerang hendap anggota-anggota pasukan keselamatan. – AGENSI