KETIKA ini bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) amat diperlukan bagi memenuhi keperluan tenaga kerja untuk pelbagai industri.
Malah, banyak program berkaitan bidang itu ditawarkan di institusi pendidikan TVET yang membuka peluang kepada pelajar untuk mendalami sesuatu kemahiran.
Rich Talents International College (RTiC) di Shah Alam, Selangor antara institusi yang menyediakan peluang tersebut dengan menawarkan kursus dalam bidang seni kulinari.
Pengetua RTiC, Prof. Datuk Chef Zam berkata, di RTiC mereka menawarkan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) tahap dua dan tiga untuk bidang tersebut.
“Untuk bidang seni kulinari pelajar boleh mengikuti Sijil Pembuatan dan Penyediaan Makanan tahap dua.
“Setelah tamat mereka juga boleh memilih untuk meneruskan pengajian dengan mengambil Sijil Operasi Seni Kulinari tahap tiga,” jelasnya.
Tambahnya, bagi sijil tahap dua tempoh masa pengajian adalah selama sembilan bulan, manakala untuk tahap tiga pula selama setahun.
Jelas Cef Zam, antara modul yang dipelajari oleh pelajar sijil tahap dua adalah merangkumi amalan kebersihan dan prosedur keselamatan dapur, pemotongan sayur-sayuran, menghasilkan menu pembuka selera, sarapan pagi dan lain-lain.
Bagi pelajar sijil tahap tiga pula merangkumi modul seperti menghasilkan sos, pasta, nasi dan menu utama.
Dalam pada itu, RTiC juga mempunyai buku teks sendiri yang boleh dijadikan rujukan pelajar dalam bidang seni kulinari.
Buku teks yang dihasilkan itu mengikut silibus yang dikeluarkan oleh Standard Kemahiran Pekerjaan Kebangsaan (NOSS).
“Setiap pusat yang bertauliah wajib mempunyai pelan mengajar sendiri dan berpandukan NOSS kita mengeluarkan buku teks sendiri untuk memudahkan pelajar mendapatkan rujukan.
“Ini penting demi pelarasan dan untuk selaraskannya kami mengeluarkan buku teks sendiri, jadi bila ada peperiksaan dari pegawai pengesahan luaran ia akan menjadi satu panduan,” jelas Chef Zam.
Ujarnya lagi, bidang seni kulinari ini juga sebenarnya mempunyai peluang kerjaya yang sangat luas.
Chef Zam berkata, kebanyakan pelajar bidang seni kulinari mudah mendapatkan pekerjaan setelah menamatkan pengajian.
“Selagi manusia perlu makan untuk hidup selagi itulah ada permintaan untuk seorang tukang masak.
“Pelajar bukan sahaja boleh bekerja sebagai chef di hotel atau restoran malah, mereka juga boleh bekerja di pelantar-pelantar minyak untuk menyediakan makanan kepada para pekerja.
“Selain bekerja sebagai tukang masak, pelajar-pelajar dalam bidang ini juga boleh menjadi seorang usahawan malah, dalam pengajian kita juga menerapkan hal berkaitan keusahawanan,” ujarnya.
Antara peluang kerjaya yang tersedia untuk pelajar bidang kulinari termasuklah sebagai chef eksekutif, chef korporat dan peribadi, penyelidikan makanan dan minuman, usahawan makanan dan minuman.
Dalam pada itu, Chef Zam berkata, TVET kini satu bidang yang diberikan penekanan oleh kerajaan. Oleh itu, semua pelajar berpeluang menlanjutkan pengajian dalam bidang ini di institusi pengajian tinggi.
“Syarat kelayakan untuk mengambil sijil kemahiran ini mestilah berusia 16 tahun. Kami memberi peluang kepada pelajar Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
“Ibu bapa juga memainkan peranan penting yang mana mereka boleh memberikan dorongan kepada anak-anak untuk mendalami bidang ini,” katanya.
Tambahnya, ada juga pelajar yang mencatatkan keputusan cemerlang dalam peperiksaan tetapi memilih untuk mendalami seni kulinari di RTiC kerana mereka melihat potensi dan peluang kerjaya dalam bidang ini.