SUASANA kini menuntut penglibatan golongan belia dalam merangka tindak kelestarian pertanian yang akan memberi implikasi secara langsung kepada keterjaminan makanan negara.
Golongan belia yang berusia antara 15 hingga 30 tahun yang mewakili 9.1 juta daripada komposisi 32.7 juta rakyat Malaysia menuntut pemerkasaan belia dalam konteks sosial, ekonomi, teknologi dan persekitaran, lebih-lebih lagi apabila berhadapan dengan suasana pasca pandemik Covid-19.
Berdasarkan kajian tinjauan yang dilakukan pasukan penyelidik Pembangunan Belia di Universiti Putra Malaysia (UPM) mendapati golongan itu mahu kerajaan dan pihak berkepentingan untuk memberi perhatian serius terhadap kos sara hidup yang tinggi.
Mereka juga inginkan pekerjaan dan gaji yang komprehensif serta kemampuan memiliki kediaman sendiri.
Ironinya, sektor pertanian memerlukan lebih ramai partisipasi golongan muda yang menjadikannya sebagai sumber dalam menjana pendapatan dan sebagai salah satu cabang kerjaya.
Golongan belia pada hari ini lebih berpeluang untuk menceburi sektor pertanian moden melalui aplikasi teknologi pintar dalam pertanian dan permintaan tenaga kerja baharu dalam pasaran industri yang berasaskan pertanian.
Namun, cabarannya adalah teknologi pertanian memerlukan kos dan komitmen pelaburan kepada teknologi yang diinginkan.
Justeru, agenda pemerkasaan golongan belia dalam sektor pertanian dan makanan amat sinonim dengan usaha kerajaan untuk menjana ekonomi serta sosial yang menjadikan belia sebagai rakan kepada pembangunan negara.
Melalui Dasar Agromakanan Negara 2.0 dan Pelan Tindakan Dasar Sekuriti Makanan (2021-2025) telah menggariskan beberapa strategi untuk menggembleng sumber asli, modal insan, penyelidikan dan pembangunan serta teknologi ke arah pembangunan industri agromakanan.
Ia sejajar dengan Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) yang mencakupi “Kelaparan Sifar”.
Di peringkat Universiti Putra Malaysia, usaha pemerkasaan graduan dalam pertanian melalui penyelidikan dan inovasi turut digariskan dalam pelan tindakan (blueprint) Keterjaminan Makanan UPM dan inisiatif Pertanian Untuk Rakyat (PUTRA).
Agenda yang turut menjadi keutamaan dalam pembangunan belia adalah menyediakan graduan untuk mereka memiliki daya tahan dalam mendepani cabaran mendatang termasuk berhadapan pekerjaan masa hadapan agar kelangsungan dan kesejahteraan belia Malaysia dapat dikekalkan.
Justeru, penglibatan belia dan graduan dalam agenda kelestarian pertanian dan industri berasaskan pertanian amat bertepatan dalam suasana semasa, sekali gus dapat membantu negara agar tidak terlalu bergantung dengan produk pertanian dan makanan yang diimport masuk dari luar negara.
Berdasarkan situasi berkenaan, golongan belia merupakan kelompok yang turut terkesan dalam era pendigitalan dan automasi termasuk penguasaan belia dalam kecerdasan buatan (artificial intelligence).
Unjuran oleh PwC Global mendapati menjelang 2030, prospek kecerdasan buatan dapat menjana Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) di peringkat global sehingga AS$15.7 trilion.
Justeru, pembangunan kompetensi belia dan graduan dalam pertanian perlu menekankan aspek pembangunan kemahiran baharu (upskilling), memperkasa kemahiran sedia ada (reskilling), mempelbagaikan kemahiran (multi-tasking) dan menyilangkan kemahiran golongan sedia ada dengan kemahiran lain (cross-skilling).
Ini penting dalam mengikis sifat malu dan pandangan serong terhadap pertanian sebagai sektor pekerjaan yang ‘tidak glamour’ kepada sektor yang sangat relevan dengan keperluan semasa ketika berhadapan dengan suasana permintaan pekerjaan yang semakin mencabar serta membantu mengurangkan jurang kemahiran golongan belia.
Antara syor untuk memastikan golongan belia dan graduan untuk terlibat dalam sektor pertanian dan makanan yang lebih berdaya tahan adalah dengan menggalakkan lebih banyak pemain industri terutamanya syarikat korporat dalam menyediakan latihan, pengalaman dan peluang pekerjaan dalam sektor pertanian secara jangka pendek dan sederhana kepada golongan belia serta graduan tempatan, selain dari insentif dan kadar gaji yang menarik.
Seterusnya, penglibatan tenaga buruh tempatan dalam sektor pertanian perlu diperluaskan dan disaran untuk merebut peluang serta insentif yang tersedia untuk dimanfatkan sebaiknya bagi membangunkan kompetensi diri.
Pelaksanaan Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN) berkaitan pertanian dan asas tani perlu diperkasakan dengan menyediakan pembelajaran di tempat kerja yang sebenar sehingga 80 peratus latihan amali.
Penglibatan golongan belia perlu diperluaskan dalam melahirkan lebih ramai usahawan pertanian dan makanan dalam kalangan belia dan graduan.
Peluang pekerjaan yang berorientasikan pendigitalan dalam pertanian juga secara tidak langsung membolehkan golongan belia tidak bergantung kepada pekerjaan ‘makan gaji’ semata-mata, tetapi sebaliknya mampu mencipta peluang pekerjaan sendiri.
Penjanaan pendapatan dalam sektor pertanian dan industri berasaskan pertanian melalui ekonomi gig merupakan ruang yang berpotensi besar dalam suasana pendigitalan pada hari ini.
Usaha penjenamaan sektor 3D (kotor, bahaya dan sukar) yang amat sinonim dengan pertanian perlu dipergiat secara berterusan dengan penawaran gaji yang setimpal bagi menarik minat golongan belia yang sebelum ini banyak dipelopori hampir tiga juta tenaga buruh asing.
Kesimpulannya, penglibatan belia dalam sektor pertanian dapat mengikis rasa malu, membina daya tahan dalam mendepani cabaran, mahir menguruskan risiko dan memperkukuhkan kemahiran keusahawanan mereka.
Usaha bersepadu dalam melahirkan lebih ramai lagi golongan belia yang berdaya tahan melalui sektor pertanian dapat memacu kemajuan negara dengan menekankan kemampanan, kesejahteraan dan daya cipta serta kreativiti belia yang semestinya akan menentukan kejayaan negara yang lebih cemerlang dengan semangat Malaysia Madani.