BARANGKALI ada yang langsung tidak tahu bahawa melodi indah berjudul Nuri Terbang Malam merupakan lagu Melayu pertama pernah direkodkan sebuah syarikat rakaman antarabangsa dari United Kingdom, Gramophone Company menerusi piring hitam sekitar tahun 1900-an.
Mengembalikan semula fakta yang sudah pudar daripada ingatan khalayak itu, maestro muzik, Datuk M. Nasir hadir dengan inisiatif paling murni, menggubah semula lagu nyanyian asal Qasim iaitu penyanyi Wayang Semarang dari Pulau Pinang tersebut ke dalam versi baharu.
“Sebagai seorang penggiat seni, saya ingin membawa karya ini sampai kepada generasi baharu tanpa mengubah asal usulnya.
“Lagu ini adalah sebahagian daripada sejarah muzik kita dan tugas kita adalah untuk mengabadikannya,” kata sifu muzik itu.
Kata komposer ulung itu, insan yang turut menyumbang khidmat dalam pembikinan semula Nuri Terbang Malam adalah Allahyarham Nafie Spider selaku penerbit sebelum menghembuskan nafas terakhir akibat strok November lalu.
“Allahyarhan telah mereka semula struktur lagu tersebut dengan memperkenalkan rentak lebih rancak tetapi masih mengekalkan elemen tradisional India dan Timur Tengah yang menjadi tunjang asal lagu ini.
“Arwah juga mencipta dinamik dan nuansa yang berbeza daripada lagu asal, memberikan pengalaman mendengar lebih moden serta segar.
“Secara tak langsung, lagu ini dedikasi buat arwah yang telah berkhidmat melakukan kerja-kerja rakaman dan susunan muzik ini sehingga siap sepenuhnya,” ujarnya.
100 lagu 100 tahun
Usaha menghidupkan semula lagu berkenaan sebenarnya merupakan sebahagian daripada projek kerjasama antara Luncai Emas dan World Business Affairs (WBA) yang diberi nama 100 Lagu 100 Tahun.
Projek 100 Lagu 100 Tahun adalah cetusan idea Profesor Datuk Seri Dr. Mohamed Mustafa Ishak bersama produser dan komposer terkenal Dr. Mohd. Azhar Abu Bakar atau lebih dikenali sebagai Azmeer.
Objektif projek berkenaan adalah menghimpunkan 100 lagu popular Melayu dari abad ke-20 dalam bentuk audio dan buku.
Buku berkenaan pula memuatkan informasi tentang latar belakang dan sejarah setiap lagu, sekali gus menjadi rujukan berharga kepada generasi masa kini dan akan datang.
Buku 100 Lagu 100 Tahun bakal diterbitkan Universiti Utara Malaysia (UUM) Press, manakala audio 100 lagu 100 tahun hasil penerbitan Azmeer akan diedarkan Luncai Emas.
Nuri Terbang Malam kini boleh didengari menerusi semua platform digital seperti Youtube, Spotify, Apple Music dan semua platform digital bermula 3 Januari lalu. – KOSMO! ONLINE