KUALA LUMPUR – Skuad hoki Tenaga Nasional Berhad (TNB) mencatat kemenangan kedua berturut-turut dalam saingan Liga Hoki Malaysia (MHL) selepas membenam Liaoning 5-0 di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil semalam.
Kemenangan itu menjadi pembakar semangat buat TNB yang masih mencari konsistensi untuk kekal di landasan kemenangan dalam misi mengutip tiga mata penuh dalam setiap perlawanan.
Kapten TNB, Syed Mohamad Syafiq Syed Cholan membuka tirai jaringan seawal minit ke-12 menerusi pukulan sudut penalti (sebelum juara bertahan itu menambah dua lagi gol menerusi Jang Jong Hyun (m-21) dan Nik Muhammad Aiman Nik Rozemi (m-38).
Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal mencuri perhatian dengan jaringan padang yang menarik pada minit ke-45 diikuti Norsyafiq Sumantri melengkapkan kemenangan 5-0 berselang tiga minit kemudian.
“Jika kita bandingkan dengan perlawanan pertama dan kedua, kali ini pasukan menunjukkan permainan yang lebih baik, lebih hampir kepada standard biasa kita,” kata ketua jurulatih TNB, Nor Saiful Zaini Nasiruddin.
Saiful turut mengakui terdapat cabaran dari segi tahap kecergasan pemain-pemain kebangsaan yang baru sahaja selesai menjalani program latihan fizikal intensif, namun tetap optimis prestasi mereka akan meningkat menjelang perlawanan seterusnya.
“Pemain-pemain kebangsaan masih dalam fasa awal kecergasan, jadi prestasi mereka sedikit terjejas. Namun, kita nampak ada peningkatan selepas dua perlawanan sebelum ini. Untuk perlawanan keempat nanti, kami akan cuba tingkatkan lagi prestasi,” tambahnya.
Perlawanan seterusnya buat TNB menentang Kelab Hoki Matador yang dibintangi enam pemain Pakistan dan seorang dari India pada 19 Januari ini.
Setakat ini, Pasukan Hoki Terengganu (THT) kekal di puncak liga dengan 12 mata daripada empat perlawanan, diikuti Maybank (sembilan mata) dan TNB di tangga ketiga (enam mata). – KOSMO! ONLINE