AKSI keseluruhan ditampilkan barisan pemain negara pada Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia 2025 menimbulkan reaksi bercampur-baur daripada Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky.
Jurulatih dari Indonesia itu dapat mengesan beberapa kelebihan serta kelemahan ketara yang ada pada anak-anak buahnya sepanjang kejohanan berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil itu.
Beliau menyifatkan, sebahagian besar pemain-pemainnya, termasuk beregu lelaki, Man Wei Chong-Tee Kai Wun dan beregu campuran, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei yang layak ke separuh akhir masih berdepan masalah keyakinan diri.
Rexy berkata, pemain-pemain masih menunjukkan sikap ragu-ragu ketika sedang mendahului perlawanan apabila membenarkan lawan untuk kembali mengejar meskipun sudah berada di depan dengan jurang mata cukup besar.
“Seperti saya cakap, memang kita mengharapkan hasil yang baik kerana Chen (Tang Jie) dan Toh (Ee Wei) sejak Jelajah Dunia Akhir hingga ke Terbuka Malaysia bermain cukup baik tetapi belum sampai tahap untuk memenangi gelaran.
“Saya harap semua pemain sedar kerana saya tidak nampak mereka ada kemahuan walaupun sudah mendahului perlawanan. Saya tidak harapkan mereka untuk dapat mata yang banyak tetapi sekurang-kurangnya beri kelebihan dari segi psikologi,” katanya.
Pada separuh akhir kelmarin, Tang Jie-Ee Wei dan Wei Chong-Kai Wun memulakan perlawanan dengan cukup baik apabila beberapa kali mendahului, namun gagal menghalang kebangkitan pemain lawan.
Akibatnya, dua beregu itu kempunan ke final apabila Tang Jie-Ee Wei tewas 19-21, 14-21 kepada pasangan China, Feng Yan Zhe-Huang Dong Ping, manakala Wei Chong-Kai Wun kalah 26-24, 16-21, 15-21 kepada Chen Bo Yang-Liu Yi juga dari China.
Selain itu, beberapa pemain kebangsaan yang lain mengharungi aksi cukup mengecewakan apabila tersingkir seawal pusingan pertama dan kedua termasuk beregu lelaki, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, Pearly Tan-M. Thinaah (beregu wanita) serta Leong Jun Hao (perseorangan lelaki).
“Kita mahu pemain-pemain menunjukkan respons kerana kita mahu ia melibatkan kedua-dua belah pihak (jurulatih dan pemain). Pearly-Thinaah dan Aaron-Wooi Yik memang berada di bawah paras yang kita harapkan.
“Kita boleh nampak Jun Hao mahu buktikan sesuatu selepas kehadiran Kenneth (Jonassen). Dia cuba untuk tampilkan aksi terbaik tetapi belum mencapai apa yang dimahukan,” ujar Rexy.=