PETALING JAYA – Malaysia kini semakin menyerlah sebagai pemain utama dalam ekonomi digital Asia Tenggara dan kini berada di tangga kedua dalam senarai prestasi e-dagang serantau bersama Indonesia dan Thailand.
Singapura berada di tangga teratas senarai yang dianggap sebagai destinasi e-dagang termaju dengan mendapat sokongan yang kuat daripada kerajaannya.
Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Blackbox Research, David Black berkata, Malaysia mampu mencapai kedudukan lebih baik kerana ia memiliki lokasi strategiknya, infrastruktur kukuh dan saiz pasaran yang sederhana bagi, menjadikan ia sebagai pusat semula jadi perdagangan e-dagang serantau.
“Kajian kami menunjukkan bahawa perkembangan e-dagang di Asia Tenggara sangat menarik.
“Nilai Dagangan Kasar dijangka mencapai AS$159 bilion (RM713.91 bilion) pada 2024 dan tumbuh berganda menjelang 2030.
“Malaysia berpeluang untuk memanfaatkan momentum ini dan muncul sebagai peneraju serantau,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan bersempena kertas putih yang dilancarkan oleh Blackbox Research, bertajuk Grasping the e-commerce opportunity in Southeast Asia semalam.
Black menjelaskan, untuk merealisasikan potensi tersebut, perniagaan perlu bijak menyesuaikan diri dengan perubahan tabiat pelanggan sambil kekal berdaya tahan dengan melaksanakan kecekapan kos.
Menurut beliau, pemain logistik akan menjadi pemacu utama, dengan mewujudkan sambungan yang lebih pantas dan lancar antara penjual serta pembeli melalui penyelesaian inovatif dan kos efektif.
“Dalam masa yang sama, pembuat dasar memainkan peranan besar dengan memperkenalkan peraturan pintar dan pelaburan berfokus,” jelasnya.
Mengulas cabaran dihadapi Malaysia dalam industri ini, ia melibatkan kos logistik yang tinggi dan prestasi penghantaran yang tidak konsisten dalam kalangan penyedia perkhidmatan, khususnya bagi penghantaran antara Semenanjung dan Malaysia Timur.
“Halangan ini menjejaskan kecekapan dan menyekat pertumbuhan sektor e-dagang negara.
“Selain itu, terdapat juga kos berlapis-lapis termasuk caj kurier, cukai import dan cabaran akibat kelemahan mata wang dikenal pasti sebagai halangan utama kepada daya saing kos bagi perniagaan dalam ekonomi digital.
“Bagaimanapun, penerapan teknologi logistik yang maju, pengoptimuman laluan penghantaran dan penubuhan pusat pengedaran di pelbagai wilayah dapat memberikan kelebihan strategik kepada Malaysia,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE