LIVERPOOL – Pendahulu Liga Perdana Inggeris, Liverpool dilapor bersedia untuk mengemukakan bidaan bagi mendapatkan khidmat pemain pertahanan Bologna, Sam Beukema.
Pemain bek tengah berusia 26 tahun itu sebelum ini pernah beraksi bersama beberapa pasukan di Liga Eredivisie dengan menyertai FC Twente, Go Ahead Eagles dan AZ Alkmaar sebelum berhijrah ke kelab Itali itu pada Julai 2023.
Bersama Bologna, Beukema berjaya membuat 33 penampilan sepanjang musim lalu termasuk membantu pasukan itu layak ke saingan Liga Juara-Juara (UCL) buat kali pertama selepas 60 tahun di bawah kendalian Thiago Motta.
Ketika Motta dan beberapa rakan sepasukannya, Riccardo Calafiori dan Joshua Zirkzee memilih untuk berhijrah, Beukema masih kekal di Bologna dengan membuat 23 penampilan musim ini serta dilantik sebagai ketua pasukan untuk saingan UCL.
Persembahan kental dipamerkan sejak dua musim lalu berjaya mendapat perhatian Liverpool yang dilapor sudah mengemukakan tawaran apabila Arne Slot dikatakan cukup meminati Beukema sejak mengemudi Feyenoord.
Beukema sebelum ini mengakui bahawa cukup berminat untuk beraksi di England dengan mengakui sangat meminati West Ham United, tetapi memasang impian untuk menyertai pasukan yang lebih besar seperti Liverpool.
Sementara itu, Liverpool meletakkan tanda harga sekitar £35 juta (RM191.99 juta) hingga £40 juta (RM219.42 juta) untuk mana-mana pasukan yang berminat mendapatkan khidmat pemain pertahanan mudanya, Harvey Elliot. – AGENSI