BALIK PULAU – Seorang penghantar barang dan makanan didenda RM1,800 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan memiliki dua laras senapang tiruan, minggu lalu.
Tertuduh, Mohd. Nasir Othman,47, membuat pengakuan tersebut setelah pertuduhan ke atasnya dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Chia Huey Ting.
Mengikut pertuduhan, Mohd. Nasir didakwa memiliki satu senapang tertera tulisan Combact Machine Cal. 7-8mm Water Bullet Gun dan satu senapang tertera tulisan Property of U.S. Govt. M4A1 Carbine Cal. 5.56mm M010805 tanpa lesen yang sah di No 26, Jalan Lintang Bayan 6 Sungai Ara, kira-kira pukul 9 pagi, 6 Januari lalu.
Pendakwaan tersebut dikemukakan mengikut Seksyen 36 (1) Akta Senjata 1960 yang boleh dihukum di bawah seksyen yang sama dengan membawa hukuman penjara maksimum satu tahun atau denda tidak melebihi RM5,000 atau kedua-duanya jika sabit bersalah.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, R. Lushini manakala tertuduh diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan iaitu Edmund Anthony Hermon.
Mohd. Nasir juga ketika ditanya Majistret mengenai tujuannya membeli senapang tersebut memberitahu, senapang yang dibelinya itu hanyalah untuk bermain dengan anak berusia 11 tahun.
“Saya main dengan anak, saya beli di Tiktok sebab pelurunya bebola air,” katanya.
Huey Ting kemudiannya menetapkan agar tertuduh didenda RM1,800 dan jika tertuduh gagal membayar denda dia dipenjara sebulan serta barang kes dilupuskan. – KOSMO! ONLINE