fbpx

Lelaki 70 tahun maut tercampak dari Myvi di LPT 2

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Keadaan kereta Perodua Myvi dinaiki Hajis dan dua anaknya yang terlibat dalam kemalangan di KM 258.8, LPT2 berhampiran Perasing, Kemaman, hari ini.

KEMAMAN – Seorang lelaki warga emas maut manakala dua anak lelakinya cedera parah selepas kereta Perodua Myvi dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan di Kilometer 258.8, Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2) berhampiran Perasing di sini, hari ini.

Kemalangan pada pukul 11.30 pagi itu mengorbankan Hajis Ismail, 70, manakala dua anak lelakinya, Ahmad Zulhilmi, 26, dan Nor Nizzam, 41, pula cedera parah.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kemaman, Deputi Superintenden Wan Muhamad Wan Ja’afar berkata, sewaktu kejadian, tiga beranak itu dikatakan dalam perjalanan ke Kuantan, Pahang dari rumah mereka di Kampung Kubang Panjang, Kuala Terengganu.

“Kereta Perodua Myvi yang dipandu Ahmad Zulhilmi dikatakan tiba-tiba hilang kawalan lalu terbabas sebelum merempuh besi penghadang jalan di kiri lebuh raya menyebabkan Hajis tercampak keluar sebelum disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.

Wan Muhamad berkata, mayat Hajis telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Kemaman, manakala dua anak mangsa pula dikejarkan ke Unit Kecemasan Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan, Pahang untuk menerima rawatan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI