KUALA LANGAT – Projek Ladang Satelit Ehsan Tani di daerah ini mampu meningkatkan pengeluaran sayuran terutama cili merah sekaligus mengurangkan kebergantungan import produk pertanian.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, projek tersebut telah mengeluarkan hasil sebanyak 50 tan yang merupakan satu inisiatif pertanian yang sangat berpotensi kepada negara.
Katanya, pelaksanaan projek itu merupakan kerjasama erat antara komuniti Sungai Kelambu dan pengurusan Pusat Pertanian Komuniti (PPK) Kuala Langat.
“Sebanyak 40,000 polibeg cili ditanam dalam projek ini, yang dijangka akan memberi hasil yang optimum dan berkualiti tinggi,” katanya selepas melawat projek berkenaan di Sungai Kelambu, Banting di sini, hari ini.
Jelas beliau, projek yang bermula Ogos tahun lalu di bawah kelolaan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) melibatkan 20 peserta tempatan dalam kalangan B40 dengan peruntukkan RM3 juta.
Mengulas mengenai status beras tempatan yang dikatakan ‘hilang’, Mohamad menegaskan fokus utama pihaknya ketika ini adalah untuk meningkatkan produktiviti beras negara.
“Termasuk melaksanakan lima musim penanaman padi dalam dua tahun yang akan dilancarkan oleh Perdana Menteri sama ada bulan ini atau Februari depan,”ujarnya. – KOSMO! ONLINE