PETALING JAYA – KK Supermart & Superstore Sdn Bhd. (KK Supermart) membuat laporan polis terhadap syarikat pengeluar produk ‘sandwich ham & cheese’, Shake And Bake Café Sdn. Bhd. (Shake And Bake Café).
KK Supermart dalam satu kenyataan berkata, pihaknya turut mengarahkan peguam untuk menghantar Surat Tuntutan (LOD) bertarikh 10 Januari kepada Shake And Bake Café.
“Untuk makluman produk ‘sandwich’ ini dikilangkan dan diusahakan oleh Shake And Bake Café. Produk ini dipasarkan kepada pelanggan melalui beberapa platform perniagaan antaranya di rangkaian KK Concept Store.
“Pihak Shake And Bake Café mengemukakan sijil halal bagi ‘chicken ham’ (kepingan ayam) dan kepingan keju. Tulisan dipamerkan pada bungkusan ‘sandwich’ dan perkataan ini adalah daripada Shake And Bake Café,” katanya hari ini.
Menurut KK Supermart, hanya 16 KK Concept Store mempunyai kemasukan produk itu dan pihaknya telah membekukan urusan perniagaan bersama Shake And Bake Café serta-merta.
Katanya, ia termasuk menghentikan segala pemprosesan produk itu daripada kemasukan ke mana-mana outlet KK Concept Store sepanjang tempoh siasatan kes.
“Kami difahamkan, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup melakukan serbuan ke atas kilang Shake And Bake Café di Sunway Damansara, Petaling Jaya.
“Demi menjaga kepercayaan dan keselamatan pelanggan, kerjasama penuh akan diberikan bagi memastikan tindakan tegas diambil terhadap pihak yang mencemarkan keyakinan dan kesejahteraan pelanggan kami,” katanya.
KK Supermart berkata, syarikat itu memandang serius perkara tersebut dan mengambil langkah bagi mengelakkan kejadian sama berulang. – KOSMO! ONLINE