fbpx

Kakitangan MBSA didenda RM15,000 balasan ambil rasuah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Muhammad Amin diiringi pegawai SPRM ketika hadir ke Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini. Foto oleh SADDAM YUSOFF/ KOSMO!

SHAH ALAM – Tindakan seorang pembantu tadbir Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menerima rasuah melibatkan kerja-kerja pembersihan memakan diri apabila didenda RM15, 000 oleh Mahkamah Sesyen hari ini.

Hakim Datuk Mohd. Nasir Nordin menjatuhi hukuman itu selepas tertuduh, Muhammad Amin Rosdan, 32, mengaku bersalah atas dua pertuduhan pilihan yang dibacakan jurubahasa mahkamah.

Mahkamah turut memerintahkan penjara keseluruhan 12 bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut.

Berdasarkan dua pertuduhan, Muhammad Amin didakwa menerima wang tunai masing-masing RM1, 800 dan 1,200 melalui akaun banknya daripada seorang lelaki berusia 31 tahun yang diketahui tertuduh mempunyai kaitan dengan tugas rasminya di MBSA.

Kesalahan itu dilakukan di sebuah cawangan bank di Klang antara 7 Mei 2019 hingga 13 Jun 2020.

Sabit kesalahan bagi setiap pertuduhan boleh dipenjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan.

Mengikut fakta kes, tertuduh yang bertugas sebagai penyelia di Unit Operasi Kebersihan Bandar Zon Tengah, Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam di Seksyen 15, 16 dan 17 di sini didakwa menerima wang tersebut supaya tidak dikenakan notis tindakan pembetulan (NTP) bagi tuntutan bulanannya

Tertuduh telah meminta seorang kontraktor syarikat pembersihan bagi membuat bayaran itu menerusi nombor akaun miliknya diserahkan kepada lelaki tersebut ketika bertemu di kedai makan sekitar Seksyen 14 pada Januari 2019.

Muhammad Amin yang tidak diwakili peguam tersebut menyatakan keinsafannya serta merayu hukuman diringankan selain perlu menanggung dua adik masih belajar.

Tambahnya, dia berasal dari keluarga yang susah dan bekerja sebagai pembantu tadbir dengan pendapatan sekitar RM,900 hingga RM2,000 sebulan.

“Ibu bapa sakit dengan bapa bekerja penjual air di tepi jalan dan tiada sumber pendapatan, abang pula kerja sebagai buruh.

“Saya kesal dengan kesalahan dan mengakuinya, saya mohon yang arif berilah denda yang minimum, saya merayu,” ujarnya.

Bagaimanapun, Pegawai Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Muhammad Arif Asyraf Mohd. Khairi memohon hukuman berat sebagai pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat kerana pengakuan yang dilakukan adalah bersifat opsyen. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI