JAKARTA – Majlis akad nikah sepasang pengantin baharu bertukar lucu apabila bapa pengantin perempuan tersilap menyebut nama isterinya ketika menikahkan pengantin lelaki, lapor portal berita Wolipop semalam.
Kejadian berlaku di Lebak, wilayah Banten pada 8 Disember lalu.
Berdasarkan video yang dimuat naik di platform TikTok, sepasang pengantin dilihat duduk di kerusi sambil berhadapan dengan bapa pengantin perempuan.
Wali pengantin perempuan itu kemudian berjabat tangan dengan pengantin lelaki untuk melaksanakan proses ijab kabul.
Namun, debaran semua tetamu bertukar suasana lucu apabila bapa pengantin perempuan tidak menyebut nama anaknya, sebaliknya isterinya.
“Ardi Setiawan bin Aris Diana. Saya nikahkan anda dengan istri saya,” katanya sebelum ia disambut dengan hilai ketawa semua tetamu.
Video itu menjadi tular dan menerima pelbagai komen daripada netizen.
“Jadi, ceritanya adalah ibu, maduku,” kata seorang pengguna media sosial.
Upacara akad nikah itu kemudian diulang semula dan ia berjalan lancar. – AGENSI